Sate Ikan POKAJI TERSEDAP

Sunday, December 19, 2010

Malaysia Layak Ke Final Piala AFF !! Tahniah Rajagopal !!

Malaysia Layak Ke Final Piala AFF !! Tahniah Rajagopal !!

Piala AFF Suzuki

Tahniah Pasukan Malaysia kerana berjaya mempertahankan deposit dua gol yang diperolehi ketika di Bukit Jalil, seterusnya layak ke perlawanan akhir buat kali kedua sejak 14 tahun lalu.

Malaysia bertindak cemerlang apabila tidak melepaskan sebarang jaringan walaupun diasak bertubi-tubi oleh 12 pemain vietnam. Kemantapan barisan pertahanan negara jelas sekali tidak langsung memberi peluang kepada pasukan Vietnam untuk mendapatkan gol semangat mereka lantas setiap minit yang berjalan itu ditemani dengan gemuruh untuk mendapatkan dua gol.

Jika ditanya kepada saya berkenaan prestasi pasukan kebangsaan pada perlawanan malam ini, walaupun kita banyak diserang dan walaupun kita tidak banyak menguasai permainan, namun mempertahankan defesit dua gol itu menjadi prioriti dan akhirnya pasukan kebangsaan Malaysia berjaya. Pada saya, layak ke perlawanan akhir itu jauh lebih penting daripada kehilangan fokus hanya kerana ingin menjaringkan gol awal.
Difahamkan juga, sistem kiraan 'away goal' atau kiraan gol di tempat lawan tidak efektif untuk Piala AFF, oleh demikian apa perlunya mencari gol awal sedang kita masih punya kelebihan dan fokus utama adalah untuk tidak membenarkan jaringan semangat bagi pasukan Vietnam.

Justeru itu, tidak kiralah samada Indonesia ataupun Filipina yang akan berentap dengan pasukan Malaysia di perlawanan akhir Piala AFF, K.Rajagopal pastinya mempunyai satu ramuan khas untuk menambah-baik pasukan kebangsaan sedia ada demi perlawanan akhir. Pasukan Malaysia yang ada pada hari ini walaupun pada mulanya tidak diberi harapan kerana ramai pemain utama tidak dapat beraksi, kini telah matang dan serasi setelah melalui jerih kesukaran untuk melepasi peringkat kumpulan seterusnya mara ke perlawanan akhir dengan moral yang tinggi.

Syabas diucapkan kepada ketua jurulatih iaitu K.Rajagopal kerana berjaya membentuk satu pasukan yang mantap dalam masa yang singkat. Daripada pasukan sedia ada yang agak tempang, Rajagopal memanggil beberapa pemain Harimau Malaya yang sebelum ini beraksi di liga Slovakia, menyerap beberapa pemain senior, mempercayai penjaga gol baru untuk peringkat antarabangsa, meletakkan barisan pertahanan yang baru ketika berhadapan Thailand - semua pencaturan K.Rajagopal setakat ini membuahkan hasil.

Kemampuan K.Rajagopal untuk menukar formasi permainan mengikut idle pemain yang sedia ada ketika perlawanan sedang berlangsung adalah merupakan senjata utama yang dimilikinya. Bermula dengan 4-4-2, dan bertukar kepada 4-5-1 dan formasi 4-1-4-1 ketika perlu, pastinya mengelirukan pihak lawan dengan Kunalan yang boleh bermain di kiri dan kanan dan beberapa pemain yang mewah posisi menipulasi dengan penuh oleh Rajagopal.

Inilah seorang jurulatih yang hebat pernah dimiliki oleh pengurusan bolasepak Malaysia dan wajar diberi credit yang besar walau apapun keputusan perlawanan akhir nanti. Syabas coach Malaysia!

Kita tidak kisah untuk bertemu negara mana pun dalam perlawanan akhir nanti, walaupun persembahan pasukan Filipina begitu memberangsangkan, tetapi pastinya setiap penyokong Malaysia mahukan pertembungan semula di antara Malaysia dan Indonesia. Kekalahan 1-5 tempohari tidak lagi boleh mereka jadikan sandaran apabila terbukti Malaysia bisa menumbangkan juara bertahan Vietnam.

Kini, peluang untuk membalas dendam ke atas pasukan Indonesia akibat dimalukan sebelum ini di Jakarta semakin menjadi kenyataan. Malaysia yang layak ke perlawanan akhir ini jauh berbeza dari Malaysia yang tewas di perlawanan pembukaan kumpulan A. Semangat dan moral setiap pemain negara kini berada pada tahap terbaiknya demi menjulang piala AFF buat kali pertama, dan tidak kurang juga tersemat di dalam jiwa setiap pemain untuk mengalahkan pasukan yang sebelum ini membelasah mereka.

Saya percaya bahawa maruah pasukan kebangsaan yang banyak merundum dalam dua dekad ini sedikit sebanyak telah dikembalikan sejak memenangi pingat emas sukan SEA di Laos penghujung tahun 2009. Kini pasukan Malaysia sekali lagi menimbulkan gerun, bangkit hebat di peringkat Asia Tenggara - Harimau Malaya mengaum di gerbang perlawanan akhir dan sedia untuk membaham walau siapa pun lawannya !

Syabas pasukan Malaysia, keputusan yang ada pada hari ini begitu memuaskan. Ingin saya tegaskan sekali lagi, apa yang dilakukan oleh pasukan Malaysia adalah sesuatu yang wajar dipuji walau apapun keputusan perlawanan akhir nanti.

Oleh itu saya merasakan betapa tekanan yang dihadapi oleh pemain kebangsaan tidaklah seberat perlawanan-perlawanan sebelum ini. Maka mainlah bolasepak dengan baik, berikan yang terbaik atas nama Malaysia. Saya yakin pasukan bolasepak kita mampu mencipta sejarah !

Harimau Malaya telah bangkit !! Ayuh rakyat Malaysia, berikan sokongan dan harapan, inilah pasukan terbaik Asia Tenggara - Harimau Malaya !!

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati

Related Posts with Thumbnails