Sate Ikan POKAJI TERSEDAP

Tuesday, April 5, 2011

Fitnah Seks Memang Sudah Sekian Lama Didedahkan Al-Quran



 
T  H  E     T  H  R  E  E      S T O O G E S


SHAH ALAM 3 APRIL : Al Quran bukan buku cerita atau 
buku sejarah. Ia adalah pedoman dan pembimbing manusia 
mengenal diri, tanggungjawab dan siapa Tuhannya.
Sebab itu kisah-kisah dalam al Quran harus digarap dan 
difahami demi mencari pengajaran dan teladan yang 
boleh dijadikan petunjuk pada semua masa dan persekitaran.
Cerita Nabi Yusuf alaihi salam (a.s.) misalnya, amat 
relevan dengan kehidupan dahulu, kini dan selamanya.
Ketika mengupas kisah ini dan hubungannya dengan realiti 
sosial, ekonomi dan politik hari ini, ahli pemikir Dr 
Sidiq Fadzil menyerlahkan betapa serasinya al Quran ini 
digunakan untuk umat manusia di Malaysia membaca 
suhu politik, dan ragam kemanusiaan rakyat serta pemerintahnya.
Beliau menghuraikan bahawa manusia memang sukar 
menceraikan sikap dan perasaan dengki.
Ia biasa menjeruk jiwa sesiapa dan dalam persekitaran apa jua. 
Dalam kes Nabi Yusuf a.s, yang dengki kepadanya ialah adik
 beradiknya sendiri. Alasan dendam dan dengki mereka 
amat lumrah – berebut kasih sayang. Atau, mungkin juga 
kerana kekurangan unsur itu dalam diri.
Didorong sifat dengki kerana kononnya Yusuf a.s. kononnya 
lebih disayangi oleh bapa, Yaakob a.s, mereka pun melakar 
konspirasi untuk memadamkan kehadiran Yusuf a.s. dalam 
persekitaran hidup mereka. Kisahnya: Yusuf a.s. dibuang ke 
dalam telaga.
Di sebalik itu al Quran pun mendedahkan helah manusia 
(dalam kes ini adik beradik Nabi Yusuf a.s. sendiri) mereka 
cipta bukti palsu dengan melumur darah kambing pada 
baju Yusuf dan dikemukakan kepada bapa mereka kononnya
 adik mereka itu telah dibaham serigala. Kecurangan begini 
masih berulang hingga hari ini hingga kepada usaha 
“menanam” DNA sebagai bukti.
Nabi Yusuf ditemui kafilah yang lalu dekat telaga ketika mencari 
air. Namun gerombolan ini mengambil kesempatan 
penemuan ini dan menjadikan modal niaga. Yusuf dijual 
sebagai hamba sahaya. Iktibar daripada ini, kata Dr Sidiq
 ialah, meskipun menjadi hamba, kemuliaan Yusuf tidak 
luntur. Dia tetap pilihan Allah.
Maka dikurniakan Yusuf pelbagai keelokkan – rupa diri, 
syaksiah dan kebijaksanaan yang tinggi. Ini menimbulkan 
ghairah pelbagai pihak untuk memiliki dan menguasainya.
Maka terjadilah fitnah lebih besar terhadap Yusuf. Meskipun
 terbukti bukan dia menggoda isteri Al Aziz, majikan Yusuf, 
bahan fitnah berbaur seks ini menyebabkan lebih 
ramai yang berkepentingan di Mesir yang mahu Yusuf dipenjara.
Sifat dengki dan dendam kesumat menjadi inti konspirasi. 
Maka ramailah yang tampil berbohong tentang “kejelekan”
 peribadi Yusuf dan terperosoklah baginda dalam penjara.
Status banduan tidak melunturkan kemuliaan Nabi Yusuf a.s. 
Ilmu tamsil mimpi dan sifat abidnya kepada Allah, menjadi 
jatidirinya. Dia terus jadi pedoman banduan lain dan 
sentiasa diberi penghormatan dan dimuliakan.
Yang signifikannya ialah apabila Yusuf dapat menafsirkan 
mimpi raja. Lebih istimewa lagi, Yusuf juga mampu 
menampilkan pelan induk ekonomi untuk Mesir.
Nasib Yusuf berubah ketika itu. Bukan sahaja ditawarkan 
kebebasan, tetapi pelan ekonomi Yusuf mendorong 
Raja memberinya tanggungjawab menguruskan ekonomi 
negara. Yang mengkagumkan ialah, Yusuf tidak segera 
menerima tawaran Raja itu.
Nabi Yusud mahu Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk 
menyiasat mengapa beliau dipenjara.
Setelah terbukti nasib malang Yusuf itu berpunca daripada 
konspirasi yang membabitkan soal seks, dan 
namanya kemudian dibersihkan, barulah Yusuf menerima 
tanggungjawab sebagai penguasa ekonomi negara.
Yusuf sedar, di hadapan Allah, tiada guna pangkat atau 
nama jika soal maruah tidak diutama.
Pengajaran daripada kisah Yusuf ini ialah soal dengki tidak 
pernah mati dalam diri mana-mana manusia dan tamadun.
 Yang jadi persoalan ialah bagaimana mengawalnya.
Rentetan itu, soal naluri seks juga tidak pernah lekang 
daripada jiwa manusia. Maka yang menjadi persoalannya 
ialah bagaimana pula ia harus dikendali dan jangan 
dijadikan modal konspirasi sesama insan.
Bayangkan betapa besarnya aib yang menimpa diri ketika
 usia telah lanjut apabila Suruhanjaya Siasatan Diraja membongkar 
di depan mata anak cucu bahawa diri terbabit dalam konspirasi 
seks hanya kerana ketika itu hendak mengekalkan kuasa, 
kedudukan dan pangkat?
Sifat buruk ini memang ada pada manusia. Sebab itu al 
Quran diturunkan untuk menjadi pedoman supaya mengelak 
mengulang kesilapan dan keterlanjuran manusia silam.
Lebih penting daripada itu, kata Dr Sidiq, setiap insan mesti
 meyakini bahawa ujian ada di mana-mana.
Lebih besar status dan kaliber seseorang itu, maka lebih getirlah
 ujian yang dihadapinya. Namun paksi ujian ialah bagaimana 
menundukkan kedengkian sesama insan.
Dan, lebih penting lagi, ialah bagaimana mengenal dan 
mengelak diri terjerumus dalam sikap kepetualangan itu. 
Kisah seperti pengalaman Nabi Yusuf menunjukkan 
betapa tema kedengkian manusia – memadamkan kehadiran
 saingan dengan cara fitnah dan membunuh serta motif 
politik bertema rasuah dan seks sentiasa jadi juadah 
konspirator untuk menundukkan lawan politik mereka; dari 
zaman ke zaman.
Maka jika kita percaya pada Allah dan sentiasa mengintai 
kebijaksanaan dan pedoman yang diselitkan dalam kisah-kisah
 Al Quran, maka tidak mungkin kita gusar akan fitnah dan 
cabaran dunia ini.
Sebagai tunjang iman, kita percaya balasan Allah akan 
tetap berlaku terhadap yang memfitnah dan juga yang difitnah. 
Jika tidak di dunia, orang beriman yakin, di akhirat nanti ada 
ganjaran dan hukumannya.
Sebab itu Allah menjanjikan Yaumil Masyar, Syurga dan Neraka.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati

Related Posts with Thumbnails