Tanah KTMB Tanjung Pagar bukan milik kita lagi |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 1 Julai: "Selamat tinggal Tanjung Pagar" mungkin paling tepat diucapkan apabila bermula hari ini, tanah Keretapi Tanah Melayu (KTMB), di Tanjung Pagar bukan lagi milik Malaysia. Ianya kerana pada 24 Mei tahun lalu, kerajaan BN melalui Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak bersetuju menamatkan khidmat KTMB di Tanjung Pagar bermula 1 Julai 2011 dan akan dipindahkan ke Pusat Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP). Sementara itu, PAS menyifatkan kehilangan tanah KTMB itu membuktikan BN tidak lagi mampu mempertahan kedaulatan negara ini. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub berkata, rakyat perlu melihat ketidakmampuan kerajaan BN itu apatah lagi untuk menjaga dan mempertahan perkara bertindih yang lain. "Barisan Nasional tidak boleh lagi menjamin kedudukan politik dan kedaulatan negara dengan lebih baik pada masa akan datang. Itu warisan terakhir tanah Malaysia di Singapura. Ia hilang dan gagal dipertahankan dibawah era pentadbiran Najib. "Kita tak tahu apa apakah kita akan kehilangan lagi perkara-perkara berkaitan pertindihan yang masih tidak selesai. Ia tak boleh dipertahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian. Beliau memberikan reaksi terhadap kehilangan tanah seluas 200 hektar atau 494 ekar termasuk laluan keretapi dan stesen di Tanjung Pagar mulai hari ini, 1 Julai 2011. Kesemua tanah itu dimajukan oleh sebuah syarikat usaha sama Malaysia-Singapura dikenali M-S Pte Ltd. Syarikat itu melibatkan Khazanah Nasional Berhad dari Malaysia yang akan memegang 60 peratus kepentingan, dan Temasek Holdings Limited, cabang pelaburan kerajaan Singapura, yang akan memegang baki 40 peratus ekuiti dalam syarikat usaha sama itu. "Sebelum ini kita kehilangan Pulau Batu Puteh. Sekarang tanah KTMB pula. Kita tak punya lagi warisan yang memberi erti yang besar dalam konsteks warisan negara. "Seharusnya jika rundingan dibuat, pertimbangan tidak boleh merugikan negara, atau sekurang-kurang dalam keadaan 'win-win situation'. "Saya kesal dengan kehilangan itu. Dah sampai masanya rakyat untuk melihat sikap Barisan Nasional," katanya. Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kayat semalam memaklumkan upacara 'Tangisan Tanjung Pagar' dibuat di stesen keretapi Johor Bahru semalam. Mereka memakai baju putih dan seluar gelap sebagai tanda simbolik kehilangan tanah milik KTMB. |
No comments:
Post a Comment