Sate Ikan POKAJI TERSEDAP

Wednesday, February 16, 2011

P Ramlee - Nostradamus Politik Negara




artikel ini telah disiarkan di akhbar Suara Keadilan 2 keluaran 8 februari 2011.


Dekad terakhir abad 20 sehingga hari ini, awal dekad di abad ke 21 
adalah dekad reformasi. Tiada siapa boleh nafikan. Api reformasi 
menggelembung, memecah, meletup dan laharnya muntah di 
mana-mana. Ia meletup di Myanmar, Nepal, Thailand, Indonesia 
juga di Malaysia. Mutakhir ini menyaksikan kebangkitan rakyat 
di Tunisia, Yaman dan Mesir. bagai mata air di bawah tanah, ia
 telah menjalar ke sana Reformasi mengubah segala yang bersifat 
arus perdana (mainstream) menjadi tidak relevan. Siaran televisyen, 
drama tv dan filem, majalah dan buku, industri muzik dan hiburan, 
komik dan kartun yang tidak mendengar keluh-kesah marhaen 
dikuburkan oleh rakyat. Di Malaysia, kita dapat lihat apa yang 
disebutkan tadi berlaku. Rakyat membunuh media yang tidak 
merakam suara mereka. Jika masih hidup, ia tawar, hambar 
dan tinggal nyawa-nyawa ikan. Satu-satunya yang masih relevan 
sejak zaman merdeka sehingga ke hari ini di era reformasi ialah 
filem P.Ramlee. Ini kerana P.Ramlee berani melawan arus. 
Bukan tiada pengarah Melayu ketika itu tetapi P.Ramlee 
telah mengambil langkah berani dalam berkarya. Mendengar 
rintihan rakyat lalu mengadunkannya mengikut selera penonton.

"Bukanlah saya gemar menghasilkan filem komedi tetapi kehendak 
pasaran. Namun begitu saya tidaklah membuatnya main-main." 
Begitulah ungkapan yang pernah beliau nyatakan. Benar, 
P.Ramlee menjadi pengkritik sosial, menyindir dalam sinis sejak
 filem pertama arahan beliau "Penarik Beca" sehinggalah yang 
terakhir beliau mewasiatkan filem "Laksamana Do Re Mi" untuk 
tatapan generasi selepasnya. Penarik beca cerita cinta tak 
kesampaian jejaka marhaen Melayu kasta pariah (boleh gunakah 
perkataan ini?) dihalang oleh bapa sang dara yang merasakan 
keturunannya terlalu mulia untuk digandingkan dengan sang 
penarik beca yang miskin papa kedana itu. Cerita ini cerita sedih 
tetapi yang menjadi lucunya di era reformasi lagu "Azizah" dan
 "Engkau laksana bulan" di dalam filem tersebut telah diharamkan 
oleh kerajaan kerana Azizah adalah nama presiden Parti Keadilan 
Rakyat manakala bulan adalah lambang bendera Parti Islam 
seMalaysia (Pas). Filem terakhir beliau pula, Laksamana Do Re Mi 
menyaksikan bagaimana sebuah kerajaan Pasir Dua Butir telah 
dirampas oleh menteri Fasola persis Barisan Nasional merampas 
negeri Perak dari kerajaan Pakatan Rakyat. Deria seniman P.Ramlee 
seolah-olah kasyaf (juga diharap istilah ini tidak menakutkan) dan 
dapat melihat apa yang akan berlaku di tanahairnya sendiri. Bahkan, 
P.Ramlee juga pernah tak dibenarkan masuk ke negeri Perak 
kerana 'hal keluarga dengan istana'. P.Ramlee seperti Nostradamus 
yang bisa meramal masa akan datang. Nostradamus yang hidup 
kurun ke 15 terkenal dengan ramalan-ramalan dunianya dalam
 bentuk pantun empat kerat.

Sudah diketahui umum dan menjadi gurau senda di internet dialog 
Sudin dalam Pendekar Bujang Lapok, "Alif mim nun wau, Alif 
tendang wau - sarkis!". Entah kebetulan atau memang P.Ramlee 
berpendirian yang alif, mim, nun, wau (Umno) memang sarkis 
penjajah tidaklah diketahui tetapi semangat patriotik dan bencikan 
penjajah telah dibuktikan P.Ramlee dengan menghasilkan "Sarjan Hassan". 
Ketika hari ini Perdana Menteri sibuk dengan konsep 1Malaysia yang 
cuma retorik walhal Umno sarat dengan semangat perkauman, P.Ramlee
 sudah lama menerima kaum lain sebahagian dari Malaysia. 
Tontonlah filem Ali Baba Bujang Lapok babak sarjan penyamun 
(lakonan Ibrahim Pendek) berbual dengan apek tukang kasut untuk
 menyiasat di mana rumah Kassim Baba. Setelah diberitahu di mana 
rumah Kassim Baba, sarjan penyamun tergesa-gesa meninggalkan 
apek yang bersungguh-sungguh mahu membawanya ke rumah tersebut. 
Ketika itu apek itu terhalang kerana diserbu pelanggan yang ramai datang 
hendak membaiki kasut. Apek tukang kasut telah mengucapkan dialog 
yang sinis," Tak usah gaduh-gaduh, gua pun local citizenship." 
Apa maknanya itu?

Konflik cinta terhalang akibat berbeza darjat memang popular sehingga
 hari ini tidak kiralah filem Melayu atau Hindustan sampailah ke filem 
Yusof Haslam dan Razak Mohideen. Banyak filem sebegitu telah 
dihasilkan tetapi P.Ramlee berjaya menyelitkan unsur-unsur lain 
di dalamnya. Filem Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku di antaranya. 
Sultan yang ego telah dibuli oleh nujum Pak Belalang agar masuk 
merangkak di dalam gua seperti menyindir meminta Sultan 'turun padang' 
dan jangan asyik megah di singgahsana sahaja. Tidak hanya cinta, 
P.Ramlee membongkar keluh golongan pekerja yang ditindas majikan
 melalui filem Labu dan Labi. Kemudahan tempat tinggal dan gaji pekerja 
bawahan si Labu dan Labi telah diabaikan oleh majikannya Haji
 Bakhil yang gemar membuli. Labu dan Labi takut memprotes 
sebaliknya hanya berani melawan dan membuli Haji Bakhil di 
dalam angan-angan dan mimpi sahaja. Kaum majikan sebenarnya
 bukanlah berani sangat jika golongan pekerja berani memprotes. 
Sebagaimana Labu yang terus melawan kerana menyangkakan 
dia masih bermimpi, sang majikan tiba-tiba berubah menjadi takut. 
Ia seperti mengajar kita bersatu dan berani menyuarakan hak kita.

Sebagai muslim, P.Ramlee bereksperimen dalam filem Semerah 
Padi bagaimana sebuah negara ditadbir mengikut undang-undang yang 
termaktub di dalam kitab Al Quran. Tidak seperti filem 'agama' yang 
pernah dihasilkan di Malaysia yang seperti kuliah dan ceramah, 
P.Ramlee menggambarkan indahnya menjalankan syariat Allah. 
Semerah Padi menunjukkan bagaimana Islam dijadikan panduan 
hidup yang memelihara keamanan dan menegakkan keadilan 
dengan penuh hikmah. Menyingkap filem "Musang Berjanggut" pula, 
ulama pengampu kerajaan dibidas kerana sibuk menyuruh orang
 berbuat baik sedangkan dirinya seperti bapa ketam yang berjalan 
mengereng. Ungkapan "Ini undang-undang kanda yang bikin, itu 
semua boleh padam" oleh Menteri Nikah Kahwin sangat pedas 
kerana dalam sesuatu hal, undang-undang boleh dipinda mengikut
 selera mereka yang berkuasa. Rakyat biasa buat akan dihukum 
tetapi orang atas tidak mengapa.

Tulisan ini sekadar memetik sepintas lalu sahaja beberapa filem 
P.Ramlee untuk mengajak kita berfikir bahawa cabang reformasi 
amat luas dan perlu digunakan sebaiknya oleh penggiat seni 
dengan penuh kebijaksanaan. Kezaliman harus ditentang dan
untuk meruntuhkannya, ia perlu dikepung dari semua sudut sama
ada melalui partai politik, NGO mahu pun kegiatan seni. Mahu 
bikin sesuatu bikinlah agar dapat difikirkan oleh anak cucu, jangan
tinggalkan sampah untuk dibebani sebagaimana setiap kepala 
generasi hari ini dan esok menanggung hutang negara yang amat besar.

Tuesday, February 15, 2011

Maulidurasul s.a.w 1432H / 2011M


alt
Sambutan memperingati Maulid (kelahiran) Rasulullah SAW bukanlah suatu perkara yang asing di dalam masyarakat kita. Tanggal 12 Rabiulawal setiap tahun inilah umat Islam akan memenuhi ruang masjid ataupun kawasan-kawasan terpilih untuk menyambut Maulidul Rasul dengan diadakan pelbagai acara seperti: Membaca al-Quran al-Karim dan berceramah mengenai sirah baginda SAW ataupun beselawat serta berzanji dan pelbagai acara lagi dan pada akhirnya kadang-kala diadakan sedikit jamuan. Mimbar-mimbar Jumaat juga tidak terlepas dari berkhutbah dengan penuh bersemangat untuk menyatakan cintanya umat ini terhadap baginda SAW.
Semperna perayaan Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. pada tahun 1432 H / 2011 M ini, saya ingin mengajak semua umat Islam untuk mengingati dan menghayati sirah baginda SAW dan seterusnya mengikuti serta mentaati segala ajaran yang telah dibawakan oleh Rasulullah SAW kepada kita. Tulisan ini sama sekali tidak akan membahaskan hukum menyambut Sambutan Maulidur Rasul SAW kerana persoalan ini terlalu kerap dibahaskan pelbagai pihak saban tahun dan ia adalah masalah khilafiyyah yang tidak akan selesai hingga Kiamat.
Oleh itu, di kesempatan ini, saya ingin mengambil sedikit ruang untuk menceritakan dan ingin mengingatkan beberapa perkara yang mungkin ada di kalangan kita yang terlupa tentang Rasulullah SAW. Semoga tulisan ringkas ini mendapat manfaatnya. InsyaAllah.
KEPUTERAAN RASULULLAH SAW
Adapun nasab keturunan baginda SAW adalah: Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hashim bin Abdul Manaf. Dikatakan bahawa nasib baginda SAW ini sampai kepada Nabi Ismail AS.
Nabi Muhammad SAW lahir pada tahun Gajah iaitu tahun tentera Abrahah melanggar masuk untuk menyerang dan menawan kota Makkah. Namun percubaan untuk menawan Kaabah ini menemuni jalan kegagalan apabila Allah Taala menghantar sekumpulan burung Ababil untuk memusnahkan angkatan tentera Abrahah itu dalam sekelip mata sahaja. Mengikut pendapat yang paling hampir bahawa baginda SAW telah dilahirkan pada 12 Rabiulawal tahun itu (terdapat juga beberapa pendapat lain lagi).
Baginda SAW adalah seorang yatim ketika dilahirkan. Bapanya wafat ketika usia baginda SAW dua bulan dalam kandungan ibunya. Setelah dilahirkan baginda SAW dipelihara oleh datuknya Abdul Mutalib kemudian disusukan oleh Halimah binti Abi Zuwaib dari puak Bani Saad Bakri.
Kampung Bani Saad pada ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Setelah sampai Nabi Muhammad SAW untuk menyusu maka kampung tersebut berubah dari sebuah kampung yang tandus kepada sebuah kampung yang subur lagi menghijau. Di kampung ini jugalah baginda SAW telah dibedah perut oleh malaikat ketika usia baginda lima tahun. Ini adalah di antara keberkatan dan mukjizat baginda SAW yang telah dikurniakan oleh Allah Taala.
Ibu baginda SAW telah wafat ketika usia baginda enam tahun. Ini menyebabkan baginda SAW menjadi yatim piatu. Kemudian baginda dipelihara dan dididik pula oleh datuknya Abdul Mutalib sehingga usia baginda lapan tahun. Setelah datuknya meninggal dunia baginda dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib.
RASULULLAH SAW UTUSAN ALLAH TAALA
Rasulullah SAW merupakan pesuruh Allah Taala yang diutuskan kepada umat Islam dan seluruhnya. Sebagai umat Islam yang beriman maka wajiblah kita mentaati segala perintah dan suruhan yang datangnya dari junjungan besar Rasulullah SAW tanpa membantahnya walaupun sedikit. Perintah mentaati rasul-Nya amat jelas dinyatakan di dalam nas-nas dari al-Quran al-Karim ataupun al-Hadis antaranya:
Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul (Rasulullah S.A.W) dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-Quran) dan sunnah rasul-Nya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya. (Surah an-Nisa: ayat 59).
Oleh itu, sebagai tanda kita mengimani dan mencintai Rasulullah SAW, beberapa perkara yang akan saya nyatakan di bawah ini boleh dijadikan pegangan kita:
BERADAB DENGAN RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan rasul-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (Surah a-Hujuraat: ayat 1).
Firman Allah Taala bermaksud: Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan rasul (Rasulullah SAW) di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu. (Surah an-Nur: ayat 63).
MENTAATI RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul (Rasulullah SAW) dan jaganlah kamu batalkan amal-amal kamu. (Surah Muhammad: Ayat 33).
Firman Allah Taala bermaksud: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh rasul (Rasulullah SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. (Surah al-Hasyr: ayat 7).
Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad): Taatilah kamu kepada Allah dan rasul-Nya. Oleh itu, jika kamu berpaling (menderhaka) maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir. (Surah ali-Imran: ayat 32).
BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikkan) kepada Nabi (Muhammad S.A.W), wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Surah al-Ahzab: ayat 56).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Orang yang bakhil ialah mereka yang disebut namaku akan tetapi ia tidak berselawat kepadaku. (Riwayat al-Baihaqi).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali maka Allah akan selawat kepadanya sepuluh kali. (Riwayat Muslim).
MENGASIHI RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutlah daku nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihi. (Surah ali-Imran: ayat 31).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Demi jiwaku berada di bawah kekuasaan Allah, seseorang kamu tidak beriman sehinggalah dia mencintaiku (Rasulullah S.A.W) lebih daripada kecintaannya kepada anaknya, ayahnya dan manusia keseluruhannya. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tiga perkara sesiapa yang memiliki tiga perkara tersebut maka ia memiliki kemanisan iman: Mencintai Allah dan rasul-Nya lebih daripada cinta kepada perkara lain... (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
MENGIKUTI SUNNAH RASULULLAH SAW
Firman Allah Taala bermaksud: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingat Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (Surah al-Ahzab: ayat 21).
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan sunnah daripada sunnahku yang telah ditinggalkan selepas aku maka sesungguhnya baginya pahala seumpama pahala orang yang melakukannya tanpa sedikitpun berkurangan sementara sesiapa yang mengadakan bidaah yang sesat yang tidak diredhai Allah dan rasul-Nya baginya dosa seumpama dosa-dosa yang dilakukan mereka di mana tidak sedikitpun berkurangan. (Riwayat al-Tarmizi dan Ibnu Majah).
PENUTUP
Sebagai umut Islam yang sayangkan baginda SAW hendaklah kita mengikuti segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Ini sahajalah bukti yang paling kukuh bahawa kita menyayangi dan mencintai Rasulullah SAW sepenuh jiwa. Akhir sekali, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Sambutan Maulidur Rasul SAW 1432 H / 2011 M kepada seluruh umat Islam. Jadikanlah amalan mengikuti ajaran baginda SAW pada setiap ketika dan bukan sekali dalam setahun.
Wallahualam.

Biodata Penulis

Buluh (Ustaz Muhammad Rashidi bin Haji Wahab) merupakan salah seorang panel agama iLuvislam.com. Beliau boleh dihubungi melalui:http://facebook.com/rashidi.buluh.

Monday, February 14, 2011

(Kalau) Mubarak Jatuh dan Raja Abdullah Saudi Tiada

OLEH DR FAISAL TEHRANI

* Rencana ini ditulis enam jam sebelum Mubarak melarikan diri. Terbit di Harakah edisi 14-17 Februari 2011.

DALAM masa terdekat, sebaik sahaja Hosni Mubarak jatuh dan Raja Arab Saudi, Abdullah bin Abdul Aziz meninggal dunia di usia 86 tahun; rantau Timur Tengah akan mengalami satu perubahan lanskap politik yang pasti melongokan kelak.

Saya tidak mahu mengulas perihal Hosni Mubarak memandangkan sudah banyak analisis dilakukan. Akan tetapi saya mahu mengulas perihal Raja Abdullah Saudi yang kesihatannya sedang tidak menentu. Seandainya Raja Abdullah meninggal dunia di tengah-tengah kemelut Mesir, Amerika Syarikat dan Zionis akan berada dalam kedudukan panik yang luar biasa.

Putera Mahkota Arab Saudi adalah Sultan bin Abdul Aziz, beliau disifatkan sebagai seorang pemimpin yang lemah dan dijangka tidak dapat menahan diri dari terheret ke dalam perang suku. Sistem politik di Arab Saudi adalah berasaskan kesukuan. Ini bermakna kunci kuasa digilirkan antara anggota suku yang dekat dengan pemerintah Bani Saud. Antara suku-suku yang hampir dengan istana Saud ialah al-Shammar, Sudairy, Bani Khalid, Bani Tamim, Anza, dan suku Al-Ajman. Marga-marga ini berbahagi kuasa sesama sendiri dalam pelbagai bidang antaranya keselamatan, politik, kewangan dan ketenteraan di Arab Saudi.

Suku Sudairy adalah yang paling dominan saat ini, khususnya, menguasai strukur agama (Haramain), ketenteraan, selain memegang kekuasaan dalam negeri. Suku Shammar saingannya lebih banyak mengendalikan ekonomi, kekayaan minyak Saudi sementara puak-puak yang lain didiamkan dengan kekayaan dalam pelbagai bidang niaga dan kewangan. Suku Sudairy rata-rata menganuti faham Wahabi. Suku Sudairy, yang merupakan saingan Al Shammar, dilihat dekat denganPutera Mahkota Saudi yang sedang uzur iaitu Putera Sultan bin Abdul Aziz.
Kekanda Raja Abdullah iaitu Raja Fahd juga mempunyai kemesraan terlampau dengan Amerika, kelihatan kedua-duanya asyik menari mengikut rentak irama padang pasir pada tahun 1981.

Ibu Putera Mahkota Arab Saudi, Sultan bin Abdul Aziz adalah Hessa binti Ahmad Al Sudair, dianggap salah seorang isteri Raja Abdul Aziz yang paling berpengaruh. Hessa adalah juga ibu kepada Raja Fahd dan Putera Abd al-Rahman, Putera Nayyef (orang ketiga berkuasa di Arab Saudi), Turki, Salman, dan Ahmed. Suku Sudairy seperti telah disebutkan memegang penuh pusat-pusat keagamaan di Arab Saudi (merujuk kepada Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi) dan mengendalikan segala urusan berkenaannya sejak Jun 1982 iaitu sejak Raja Fahd, raja kelima dari Dinasti Al Saud, beroleh takhta.

Kedudukan Sudairy sangat utuh apatah lagi marga ini menguasai Jabatan Pertahanan, Rejimen Pengawal Raja, pihak polis Arab Saudi, dan banyak kedutaan besar Arab saudi di seluruh dunia dibanjiri oleh klan Sudairy.

Sementara itu, marga Shammar dilihat lebih dekat dengan faham Syiah. Terdapat 15 peratus penganut faham Syiah di Arab Saudi dari sejumlah 25 juta rakyatnya. Terdapat khabar angin mendakwa ibu Raja Abdullah, Fahda, yang memang diketahui berasal dari keturunan suku Shammar (Fahda adalah puteri ketua marga Shammar, Asi Shuraim) adalah penganut faham Syiah. Raja Abdul Aziz telah mengahwini empat perempuan dari Al Shammar untuk meredakan segala kemungkinan suku yang rapat dengan Syiah ini menuntut kekuasaan. Akan tetapi, itu juga memberi kelebihan buat al Shammar hari ini. Ini kerana sistem politik Arab Saudi bergantung rapat dengan kekuatan sesebuah suku atau klan dengan raja dan keluarganya. Ekoran dari itu suku Shammar telah menampakkan taringnya sejak 2005, iaitu ketika Raja Abdullah menaiki takhta.

Perlu diketahui, bekas Raja Arab Saudi, Raja Abdul Aziz mempunyai 32 orang isteri dari suku Saudi yang berpengaruh dan dikurniai tujuh orang puluh anak.

Kematian Raja Fahd bin Abdul Aziz pada bulan Ogos 2005 membolehkan suku Shammar membuat percaturan yang lebih penting dalam menempatkan setiap warga sukunya di pangkalan kekuasaan Arab Saudi. Oleh kerana sistem politik suku ditentukan oleh pengaruh suku berdasarkan jumlah laki-laki serta jumlah kerabat yang terhasil dari perkahwinan dengan anggota suku yang lain; Shammar dan Sudairy menjadi dua suku yang paling berpengaruh. Ini kerana bekas Raja Saudi telah memilih sebahagian besar isteri-isterinya daripada kedua-dua puak tadi.
Rapatnya Putera Bandar Saudi dengan George Bush
menyebabkan beliau diberi jolokan 'Bandar Bush'.

Salah seorang kerabat Raja Arab Saudi, Putera Bandar bin Sultan ibunya pula adalah seorang etnik Afrika yang asalnya bekerja dengan keluarga kerajaan Saudi. Putera Bandar inilah yang mempunyai hubungan rapat dengan Parti Republikan di Amerika Syarikat. Beliau juga adalah Ketua Majlis Keselamatan Nasional Arab Saudi sehingga tahun 2005, merupakan Duta Besar Saudi untuk Amerika S yarikat selama dua puluh dua tahun dan salah seorang sosok paling berpengaruh dalam dinasti Al-Saud. Adalah diketahui Putera Bandar dan keluarga Bush merupakan rakan kongsi perniagaan dalam industri minyak Texas yang bernilai lebih 500 juta dollar. Putera Bandar dikatakan membiayai kempen pemilihan George W. Bush selama dua penggal. Yang mengakibatkan George W. Bush berasa sangat terhutang budi kepada dinasti Saudi.

Menekuni sistem suku Dinasti Saud yang menebarkan lebih enam ribu ahli keluarga diraja pelbagai suku kepada pelbagai pos penting, ada kemungkinan kematian Raja Abdullah kelak boleh mengakibatkan satu perebutan kuasa yang dahsyat (secara senyap mahupun terang-terangan).

Untuk berdepan dengan kemungkinan suku Shammar yang lunak dengan Syiah mengambil alih peranan di Arab Saudi, Amerika Syarikat dan Zionis sedang melobi Putera Nayef yang berumur 77 tahun iaitu Timbalan Perdana Menteri II dan bekas Menteri Dalam Negeri sebagai pengganti Raja Abdullah. Nayef dianggap paling selamat memandangkan sedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat dalam pelbagai urusan. Menteri Luar Negeri Saudi, Saud al-Faisal misalnya dijangkiti penyakit Parkinson, sementara Putera Bandar yang digemari Washington itu sedang menderitai kanser.

Nah, sekiranya Omar Suleiman berjaya dinaikkan menggantikan Hosni Mubarak di Mesir dan Putera Nayyef dapat ditabalkan sebagai Raja baharu Arab Saudi, pengaruh Amerika Syarikat dan Zionis akan dapat dikekalkan di Timur Tengah untuk satu lagi tempoh. Akan tetapi sekiranya Hosni Mubarak dijatuhkan dan rakyat Mesir menolak Omar Suleiman sebagai pengganti, dalam masa yang sama pula Raja Abdullah di Saudi meninggal dunia secara mengejut tanpa dapat digantikan dengan Putera Nayyef, Amerika Syarikat dan Zionis berdepan dengan masalah.

Maksud saya, masalah yang sangat besar.
Boneka Amerika beratur.

Anda mungkin juga meminati

Related Posts with Thumbnails