Sate Ikan POKAJI TERSEDAP

Wednesday, February 16, 2011

P Ramlee - Nostradamus Politik Negara




artikel ini telah disiarkan di akhbar Suara Keadilan 2 keluaran 8 februari 2011.


Dekad terakhir abad 20 sehingga hari ini, awal dekad di abad ke 21 
adalah dekad reformasi. Tiada siapa boleh nafikan. Api reformasi 
menggelembung, memecah, meletup dan laharnya muntah di 
mana-mana. Ia meletup di Myanmar, Nepal, Thailand, Indonesia 
juga di Malaysia. Mutakhir ini menyaksikan kebangkitan rakyat 
di Tunisia, Yaman dan Mesir. bagai mata air di bawah tanah, ia
 telah menjalar ke sana Reformasi mengubah segala yang bersifat 
arus perdana (mainstream) menjadi tidak relevan. Siaran televisyen, 
drama tv dan filem, majalah dan buku, industri muzik dan hiburan, 
komik dan kartun yang tidak mendengar keluh-kesah marhaen 
dikuburkan oleh rakyat. Di Malaysia, kita dapat lihat apa yang 
disebutkan tadi berlaku. Rakyat membunuh media yang tidak 
merakam suara mereka. Jika masih hidup, ia tawar, hambar 
dan tinggal nyawa-nyawa ikan. Satu-satunya yang masih relevan 
sejak zaman merdeka sehingga ke hari ini di era reformasi ialah 
filem P.Ramlee. Ini kerana P.Ramlee berani melawan arus. 
Bukan tiada pengarah Melayu ketika itu tetapi P.Ramlee 
telah mengambil langkah berani dalam berkarya. Mendengar 
rintihan rakyat lalu mengadunkannya mengikut selera penonton.

"Bukanlah saya gemar menghasilkan filem komedi tetapi kehendak 
pasaran. Namun begitu saya tidaklah membuatnya main-main." 
Begitulah ungkapan yang pernah beliau nyatakan. Benar, 
P.Ramlee menjadi pengkritik sosial, menyindir dalam sinis sejak
 filem pertama arahan beliau "Penarik Beca" sehinggalah yang 
terakhir beliau mewasiatkan filem "Laksamana Do Re Mi" untuk 
tatapan generasi selepasnya. Penarik beca cerita cinta tak 
kesampaian jejaka marhaen Melayu kasta pariah (boleh gunakah 
perkataan ini?) dihalang oleh bapa sang dara yang merasakan 
keturunannya terlalu mulia untuk digandingkan dengan sang 
penarik beca yang miskin papa kedana itu. Cerita ini cerita sedih 
tetapi yang menjadi lucunya di era reformasi lagu "Azizah" dan
 "Engkau laksana bulan" di dalam filem tersebut telah diharamkan 
oleh kerajaan kerana Azizah adalah nama presiden Parti Keadilan 
Rakyat manakala bulan adalah lambang bendera Parti Islam 
seMalaysia (Pas). Filem terakhir beliau pula, Laksamana Do Re Mi 
menyaksikan bagaimana sebuah kerajaan Pasir Dua Butir telah 
dirampas oleh menteri Fasola persis Barisan Nasional merampas 
negeri Perak dari kerajaan Pakatan Rakyat. Deria seniman P.Ramlee 
seolah-olah kasyaf (juga diharap istilah ini tidak menakutkan) dan 
dapat melihat apa yang akan berlaku di tanahairnya sendiri. Bahkan, 
P.Ramlee juga pernah tak dibenarkan masuk ke negeri Perak 
kerana 'hal keluarga dengan istana'. P.Ramlee seperti Nostradamus 
yang bisa meramal masa akan datang. Nostradamus yang hidup 
kurun ke 15 terkenal dengan ramalan-ramalan dunianya dalam
 bentuk pantun empat kerat.

Sudah diketahui umum dan menjadi gurau senda di internet dialog 
Sudin dalam Pendekar Bujang Lapok, "Alif mim nun wau, Alif 
tendang wau - sarkis!". Entah kebetulan atau memang P.Ramlee 
berpendirian yang alif, mim, nun, wau (Umno) memang sarkis 
penjajah tidaklah diketahui tetapi semangat patriotik dan bencikan 
penjajah telah dibuktikan P.Ramlee dengan menghasilkan "Sarjan Hassan". 
Ketika hari ini Perdana Menteri sibuk dengan konsep 1Malaysia yang 
cuma retorik walhal Umno sarat dengan semangat perkauman, P.Ramlee
 sudah lama menerima kaum lain sebahagian dari Malaysia. 
Tontonlah filem Ali Baba Bujang Lapok babak sarjan penyamun 
(lakonan Ibrahim Pendek) berbual dengan apek tukang kasut untuk
 menyiasat di mana rumah Kassim Baba. Setelah diberitahu di mana 
rumah Kassim Baba, sarjan penyamun tergesa-gesa meninggalkan 
apek yang bersungguh-sungguh mahu membawanya ke rumah tersebut. 
Ketika itu apek itu terhalang kerana diserbu pelanggan yang ramai datang 
hendak membaiki kasut. Apek tukang kasut telah mengucapkan dialog 
yang sinis," Tak usah gaduh-gaduh, gua pun local citizenship." 
Apa maknanya itu?

Konflik cinta terhalang akibat berbeza darjat memang popular sehingga
 hari ini tidak kiralah filem Melayu atau Hindustan sampailah ke filem 
Yusof Haslam dan Razak Mohideen. Banyak filem sebegitu telah 
dihasilkan tetapi P.Ramlee berjaya menyelitkan unsur-unsur lain 
di dalamnya. Filem Antara Dua Darjat, Ibu Mertuaku di antaranya. 
Sultan yang ego telah dibuli oleh nujum Pak Belalang agar masuk 
merangkak di dalam gua seperti menyindir meminta Sultan 'turun padang' 
dan jangan asyik megah di singgahsana sahaja. Tidak hanya cinta, 
P.Ramlee membongkar keluh golongan pekerja yang ditindas majikan
 melalui filem Labu dan Labi. Kemudahan tempat tinggal dan gaji pekerja 
bawahan si Labu dan Labi telah diabaikan oleh majikannya Haji
 Bakhil yang gemar membuli. Labu dan Labi takut memprotes 
sebaliknya hanya berani melawan dan membuli Haji Bakhil di 
dalam angan-angan dan mimpi sahaja. Kaum majikan sebenarnya
 bukanlah berani sangat jika golongan pekerja berani memprotes. 
Sebagaimana Labu yang terus melawan kerana menyangkakan 
dia masih bermimpi, sang majikan tiba-tiba berubah menjadi takut. 
Ia seperti mengajar kita bersatu dan berani menyuarakan hak kita.

Sebagai muslim, P.Ramlee bereksperimen dalam filem Semerah 
Padi bagaimana sebuah negara ditadbir mengikut undang-undang yang 
termaktub di dalam kitab Al Quran. Tidak seperti filem 'agama' yang 
pernah dihasilkan di Malaysia yang seperti kuliah dan ceramah, 
P.Ramlee menggambarkan indahnya menjalankan syariat Allah. 
Semerah Padi menunjukkan bagaimana Islam dijadikan panduan 
hidup yang memelihara keamanan dan menegakkan keadilan 
dengan penuh hikmah. Menyingkap filem "Musang Berjanggut" pula, 
ulama pengampu kerajaan dibidas kerana sibuk menyuruh orang
 berbuat baik sedangkan dirinya seperti bapa ketam yang berjalan 
mengereng. Ungkapan "Ini undang-undang kanda yang bikin, itu 
semua boleh padam" oleh Menteri Nikah Kahwin sangat pedas 
kerana dalam sesuatu hal, undang-undang boleh dipinda mengikut
 selera mereka yang berkuasa. Rakyat biasa buat akan dihukum 
tetapi orang atas tidak mengapa.

Tulisan ini sekadar memetik sepintas lalu sahaja beberapa filem 
P.Ramlee untuk mengajak kita berfikir bahawa cabang reformasi 
amat luas dan perlu digunakan sebaiknya oleh penggiat seni 
dengan penuh kebijaksanaan. Kezaliman harus ditentang dan
untuk meruntuhkannya, ia perlu dikepung dari semua sudut sama
ada melalui partai politik, NGO mahu pun kegiatan seni. Mahu 
bikin sesuatu bikinlah agar dapat difikirkan oleh anak cucu, jangan
tinggalkan sampah untuk dibebani sebagaimana setiap kepala 
generasi hari ini dan esok menanggung hutang negara yang amat besar.

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati

Related Posts with Thumbnails