Sate Ikan POKAJI TERSEDAP

Monday, April 19, 2010

Eropah Terus Diselimuti Debu: Adakah ini tanda-tanda kiamat


LONDON 17 April – Aktiviti seismik di gunung berapi Eyjafjallajokull di Iceland, semakin meningkat hari ini apabila ia dilapor menghamburkan debu setinggi 8.5 kilometer ke udara.


Pakar geologi, Magnus Tumi Gudmundsson dari Universiti Iceland berkata, angin yang agak kuat hari ini membantu menjelaskan jarak penglihatan, sekali gus membenarkan kumpulan penyelidik terbang di atas gunung berapi bagi melihat peningkatan aktivitinya.

Seorang daripada mereka mendapati, kepulan abu yang menjejaskan beribu-ribu penerbangan di benua Eropah terhasil akibat tindak balas magma yang membeku dengan pantas apabila terkena ais yang meliputi puncak gunung.

Dalam perkembangan berkaitan, kepulan tebal abu gunung berapi terus menyelubungi ruang udara beberapa kawasan terpencil Iceland hari ini ketika keadaan sama masih membelenggu seluruh Eropah, sehingga memaksa pembatalan beribu-ribu penerbangan dan mendesak orang ramai menyewa bilik hotel, mencari tiket kereta api dan menggunakan perkhidmatan kereta sewa.

Agensi trafik udara Eurocontrol melaporkan, hampir dua pertiga penerbangan Eropah dibatalkan semalam apabila ruang udara di sebahagian besar Britain, utara dan tengah Eropah terus ditutup.

“Ruang udara masih belum dibuka untuk penerbangan. Keadaan ini dijangka berterusan esok,” jelas agensi tersebut.

Menurut Eurocontrol, kira-kira 16,000 daripada 28,000 penerbangan harian Eropah terpaksa dibatalkan hari ini dan semalam, dua kali lebih banyak berbanding hari sebelumnya.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa memaklumkan, gunung berapi tersebut mengakibatkan kerugian sejumlah AS$200 juta (RM700 juta) sehari kepada industri berkenaan.

Gunung berapi Eyjafjallajokull, mula meletus buat kali kedua Rabu lalu dalam tempoh sebulan, menghamburkan debu sejauh beberapa kilometer.

Angin turut membawa kepulan debu tebal ke selatan dan timur Britain, Ireland, Scandinavia dan tengah Eropah.

Sementara itu, pegawai Poland semalam bimbang kepulan debu tersebut akan menganggu kehadiran pemimpin-pemimpin dunia esok bagi menghadiri upacara pengebumian Presiden Poland Lech Kaczynski dan isterinya Maria di bandar Krakow, selatan negara itu, setelah ruang udara Poland ditutup hari ini daripada sebarang penerbangan sehingga diberitahu kelak.

Sehingga kini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama, Presiden Rusia Dmitry Medvedev dan Canselor Jerman Angela Merkel telah mengesahkan kehadiran mereka ke upacara itu, sementara Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Un-chan muncul pemimpin pertama membatalkan kedatangan ke Poland.

Keluarga Kaczynski semalam menegaskan, mereka mahu upacara pengebumian diadakan esok seperti yang dirancang, walaupun kepulan debu dari gunung berapi di Iceland kini semakin merebak ke bahagian selatan dan timur. – AP

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati

Related Posts with Thumbnails