Sate Ikan POKAJI TERSEDAP

Wednesday, June 23, 2010

Kembara ke Sidratul Muntaha


Kitab Kifaayatul Muhtaj karya Syeikh Daud al-Fatani mengisahkan peristiwa Israk Mi’raj secara terperinci dari awal hingga akhir. Usia kitab ini mungkin sudah 100-200 tahun tetapi sehingga kini masih menabur jasa kepada umat Islam khususnya di Nusantara ini. Insyaallah kini giliran kita pula untuk mengambil manfaat daripadanya. 

Biasanya kita mendengar kupasan tentang peristiwa Israk Mi’raj ini setahun sekali. Apabila tiba bulan Rejab, sibuklah masjid-masjid dan surau-surau menganjurkan ceramah dan makan-makan bersempena mengenang peristiwa besar itu dalam usaha untuk mengambil iktibar daripadanya. Penceramah pun mengupas kisah tersebut dalam tempoh masa lebih kurang satu ke dua jam. 


Dalam tempoh masa sesingkat itu, tidak banyak perkara yang sempat dihidangkan oleh penceramah. Penceramah akan menyentuh serba-sedikit mana-mana bahagian yang dirasakannya sesuai untuk dijamu kepada para pendengar. Kadang-kadang ceramah sempena Israk Mi’raj lebih banyak menyentuh hal ehwal politik. Hal ini menjadikan masyarakat kita umumnya tidak tahu banyak tentang peristiwa besar itu, bahkan berasa diri mereka jauh daripadanya. Padahal setiap hari kita mengerjakan ibadah solat dan bertahiyat di dalamnya, sedangkan ibadah solat dan tahiyat itu ada hubungan yang sangat erat dengan peristiwa Israk Mi’raj. Tidakkah kita berasa rugi apabila bersolat dan bertahiyat saban hari dalam keadaan tidak tahu peristiwa besar di sebaliknya? Bukankah ia dapat mengkhusyukkan lagi hati kita ketika melaksanakan ibadah solat?

Atas dasar itu isi kandungan kitab Kifaayatul Muhtaaj ini dihidangkan kembali ke tengah masyarakat. Tidak sekadar satu dua jam, mungkin puluhan jam diperlukan untuk mensyarahkan keseluruhan kitab ini. Alhamdulillah syukur,teknologi moden banyak membantu. Setiap kuliahnya dirakamkan dalam bentuk audio dan dimuatnaik ke internet. Ini membolehkan para pendengar mengulang-ulang isi kandungan kuliah seberapa kali yang mereka mahu. Tidaklah sekadar mendengar sekali sahaja di masjid/ surau, balik ke rumah tidak boleh diulangkaji lagi. Hasilnya, selang dua tiga hari, tinggallah 10-20 peratus sahaja isi kandungan kuliah di dalam minda. 

Selain diberi kemudahan oleh Allah untuk mengulang dengar kuliah seberapa banyak kali yang disukai (supaya benar-benar faham dan tidak ketinggalan walau satu isi kandungan kuliah), pendengar juga boleh bersoal-jawab dengan pengkuliahnya di ruang maya internet. Mana-mana bahagian yang kurang difahami boleh diajukan kembali kepada pengkuliah. Jika ada kelapangan, insyaallah pengkuliah akan memberikan penjelasan lanjut. Kepada mereka yang tinggal berdekatan dengan pengkuliah, boleh bertanya secara bersua muka. 

Biasanya jika kita mendengar sesebuah kuliah di masjid/ surau, balik ke rumah sudah tidak boleh mengulangkaji isi kuliah tadi. Untuk bersoal-jawab dengan pengkuliah, tidak ada cara kerana pengkuliah tinggal jauh dan tidak aktif di internet. Terpaksalah tunggu bulan hadapan pula untuk mengikuti kuliahnya. Jika kuliah itu berkaitan Israk Mikraj, mungkin tahun hadapan pulalah dapat bertemu dengan si pengkuliah. Itu pun kalau pihak masjid/ surau menjemput penceramah yang sama. Kalau tidak... habis begitu sahajalah. 

Bagaimana pula jika kita ada terlepas sesuatu kuliah? Bulan pertama kita pergi. Bulan kedua kita pergi. Bulan ketiga kita ada urusan penting menyebabkan tidak dapat pergi. Bulan keempat kita pergi, tapi dalam keadaan sudah tertinggal banyak perkara dan termanggu-manggu. Di mana kita hendak dapatkan isi kandungan kuliah kali ketiga itu? Alamatnya, terlepaslah. 

Oleh itu, sebagaimana kuliah pengajian kitab Munyatul Musolli, pengajian kitab Kifaayatul Muhtaaj ini akan diusahakan agar semua sirinya dapat dimuatnaik ke internet. Dengan cara ini, para pendengar tidak akan terlepas mana-mana sesi kuliah. Maka pemahaman dapat dimaksimakan. Jika diulang-ulang, akan bertambah mantap pula. 

Dalam usaha menyelongkar emas permata daripada kitab tua ini, pengkuliah mengambil sandaran-sandaran lain sebagai pengukuh ataupun pengukur kepada isi kandungannya. Antaranya ialah hadis riwayat Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Baihaqi, pandangan para ulama, pandangan para sejarahwan, pandangan ahli-ahli kasyaf, pandangan dari sudut sains moden dan sebagainya. Kita cuba cari persamaan dan keserasian antara kesemuanya agar maklumat yang kita perolehi itu kukuh, ataupun sekurang-kurangnya boleh dipertimbangkan. Kita berusaha menapis apa yang salah dan apa yang lemah, yang mungkin ada dalam kitab ini. Itu pun sekiranya ada. Tidak mustahil juga keseluruhan kitab ini benar belaka. Biasalah, mana-mana kitab pun tidak terlepas daripada kritikan. Yang penting, apa yang benar kita ambil, yang tiada kepastian kita berkecuali, yang salah kita tolak. Jangan kita terus melulu menerima semua ataupun menolak semua. 

Untuk itu, sama-samalah kita berdoa dan berusaha agar maksud kita untuk mengetahui keseluruhan kisah Israk dan Mi’raj dan isi kandungan kitab Kifaayatul Muhtaaj ini dipermudahkan oleh Allah SWT. 

http://myalexanderwathern.blogspot.com/2010/06/pengenalan-kuliah-kitab-kifaayatul.html

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati

Related Posts with Thumbnails