Sate Ikan POKAJI TERSEDAP

Thursday, May 20, 2010

Surat seorang guru Kelantan kepada Berita Harian



SABAN tahun pada tanggal 16 Mei adalah hari yang istimewa khusus kepada pendidik seluruh negara. Pada tanggal keramat inilah diisytiharkan sebagai Hari Guru peringkat nasional dalam usaha memperingati pengorbanan dan jasa guru mendidik anak bangsa. 

Pelbagai acara diatur pada peringkat kementerian, jabatan dan sekolah bagi merayakan Hari Guru ini. Bermula dengan pembacaan pelbagai perutusan hinggalah ke dendangan lagu Guru Malaysia yang sudah menjadi kemestian setiap kali perayaan Hari Guru. Lagu Guru Malaysia memang unik dan mempunyai tarikan tersendiri.

Bermula dengan melodi hinggalah lirik lagunya memang menyentuh jiwa seseorang yang bergelar guru. Semangat yang dilahirkan dari lirik lagu itu meremangkan bulu roma bagi guru yang benar-benar menghayatinya. Walaupun begitu saya agak terkilan sedikit dengan sebaris lirik lagu Guru Malaysia yang pada pandangan saya amat tidak sesuai jika dilihat dari perspektif agama. 

Lirik yang saya maksudkan ialah Rukun Negara kita, panduan hidup kami semua. Lirik ini tidak sesuai kerana panduan hidup bagi orang Islam sama ada bergelar guru atau tidak bukanlah pada Rukun Negara tetapi panduan hakiki ialah pada al-Quran dan al-Hadis dan ditambah dengan Rukun Islam dan Rukun Iman. Inilah yang menjadi pegangan seseorang Islam untuk kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. 

Saya berpendapat lirik ini perlu diubah kepada lirik lebih bersifat terbuka dan tidak menampakkan kepincangan jika dinilai dari sudut agama. Bagi saya sebagai seorang guru, saya tidak menyanyikan lirik ini apabila menyanyikan lagu Guru Malaysia. 

AMRAN MN, SK Bahagia, 
Kota Bharu.

Kami guru Malaysia 
Berikrar dan berjanji 
Mendidik dan memimpin 
Putra putri negara kita 

Pada Seri Paduka 
Kami tumpahkan setia 
Rukun Negara kita 
Panduan hidup kami semua 


Di bidang pembangunan 
Kami tetap bersama 
Membantu, membina 
Negara yang tercinta 

Amanah yang diberi 
Kami tak persiakan 
Apa yang kami janji 
Tunai tetap kami tunaikan 

Lagu & Lirik : Hashim Ahmad

No comments:

Post a Comment

Anda mungkin juga meminati

Related Posts with Thumbnails